Khamis, 20 Mac 2008

Mukadimah Putera Melayu

Salam pembuka minda & jiwa,
Tanggal 12 rabiulawal 1429 hijrah bersamaan 20 mac 2008 memberi peluang untuk saya menyumbangkan secebis idea dalam mengisi agenda orang melayu khususnya buat pemuda-pemuda harapan bangsa. Tarikh ini jugalah dimana semua umat islam sedunia memperingati hari kelahiran Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W. Tatkala semua umat Islam memperingati kelahiran baginda dengan pelbagai acara sambutan terfikir difikiran dan terdetik dihati saya apakah teladan yang boleh diadaptasikan oleh putera melayu dari sejarah perjuangan baginda Nabi Muhammad S.A.W? Adakah hanya program-program dakwah yang masa luputnya satu hari sahaja? atau Adakah kesedaran umat islam khususnya putera melayu mengiktibarkan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam mengisi agenda perjuangan Melayu dalam membentuk umat yang memperkukuhkan Agama, Bangsa dan Negara?

Berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi ciptaan Allah S.W.T bertapaknya satu bangsa yang memiliki secebis daerah yang dihimpit ratusan ribu bangsa dari daerah-daerah lain yang membentuk satu negara yang hidup dalam kepelbagaian budaya dan agama. Disinilah asas dalam ketamadunan moden menuntut umatnya mempaktikan perkongsian budaya dan tatacara hidup supaya hak dan kesaksamaan dapat diberikan sama rata. Bagaimana sekiranya suatu ketika dulu daerah ini tidak didatangi ratusan ribu bangsa dari daerah-daerah lain? Mampukah bangsa asal itu memiliki sebuah negara bangsa seperti sekarang ini?

Seharusnya putera melayu yang mewarisi daerah ini memahami tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh orang terdahulu yang secara logiknya telah menggariskan hak ketuanan daerah ini. Ketuanan itu memberikan gambaran jelas kepada pewaris daerah agar sentiasa mengekalkan haknya dan memastikan tidak terlucutnya ketuanan itu kepada bukan pewaris. Lantas putera melayu harus memastikan ketuanan itu dapat diwariskan kepada generasi baru golongan asal daerah ini tanpa ada sebarang unsur yang mampu menggugat transformasi dari satu generasi ke generasi baru golongan asal daerah ini.

Sedarkah pewaris daerah ini tanpa kesepaduan agama dan bangsa maka tidaklah akan adanya transformasi yang total pada masa akan datang. Transformasi yang tempanglah penyebab kepada hilangnya hak ketuanan. Pewaris harus dilengkapi dengan kekuatan agama yang diwariskan oleh Nabi Muhammad S.A.W (agama tunggal umat melayu) dan kekuatan bangsa (orang melayu nusantara). Melalui kombinasi ini insya Allah proses transformasi dari satu generasi ke satu generasi yang baru tidak akan tempang.

Wahai pewaris melayu, jadikanlah Islam sebagai pedoman dan panduan dalam hidup dan ambillah semangat orang melayu terdahulu sebagai amanah dalam membentuk kesepakatan dan perpaduan sesama kita agar tiada ketempangan dan sekiranya ada sedikit kecacatan maka betulkan ia sebelum melarat. Masih ada ruang untuk membaiki ketempangan akibat kealpaan dan masih ada ubat untuk merapatkan kerenggangan kesepaduan akibat perbezaan agenda dan propaganda. Berbaliklah semula pada panduan, pedoman dan semangat manusia terdahulu. Balik ke pangkal jalan yang lurus dan jgn sesekali berundur pada pangkal yang bengkok. Luruskan jalan yang bengkok supaya generasi akan datang yang terpesong dapat kembali kepada pangkal yang lurus. Ingatlah pewaris daerah ini, tanpa kesepaduan longgarlah pegangan, lerailah ikatan dan tempanglah berjalan. Satukan agenda dan saksamakan setiap propaganda untuk memiliki satu minda yang sama. Demi pewaris bangsa melayu di daerah asalmu.

agenda-propaganda-minda

Tiada ulasan: