Sabtu, 3 Mei 2008

Melayu...Dulu, Kini dan Selamatkah? (bahagian 2)

Pemimpin-pemimpin melayu lampau yang megah dan lantang bersuara dan menyuarakan perjuangan bangsa. Pemimpin-pemimpin melayu sekarang melampau dengan megah dan lantang bersuara dan menyuarakan perjuangan peribadi.

Jika dahulu perjuangan berlandaskan kepada usaha kemerdekaan tetapi sekarang tiada berlandasan. Bertaburan dan berkeliaran berkejaran tanpa arah yang nyata. Berpusingan dan berulangan kearah yang berbeza tanpa paksi.

Perjuangan dahulu menuntut kemerdekaan, memperjuangkan nasib bangsa yang diapit oleh penjajah. Adilkah untuk umat melayu sekarang membalas jasa pejuang terdahulu? Bagaimana perasaan mereka yang terdahulu jika masih hidup dan melihat betapa pengorbanan mereka telah dipersiakan oleh segelintir anak-anak melayu yang melupakan jerih payah dalam usaha menuntut kebebasan dari penjajah.

Mungkin ini hanya satu detik sementara untuk menguji kekuatan umat melayu sekarang. Mungkin akan ada seseorang atau segelintir pahlawan moden melayu yang akan menjadi Hero untuk memartabatkan semula umat Melayu.

Bilakah anak-anak muda melayu akan bangkit dari lena akibat termakan keselesaan sementara atau bilakah anak-anak melayu ini akan sedar dari lamunan impian yang dilayarkan oleh kemewahan yang seketika. Anak-anak melayu kini gugur satu demi satu tanpa makna. Mati tersadai ditepi-tepi jalan dan longkang kerana keseronokan dan kepuasan. Orang-orang melayu dahulu gugur satu demi satu sebagai pahlawan bangsa yang berjuang menuntut kebebasan dari penjajah.

Kita dituntut untuk menjadikan pemimpin terdahulu sebagai contoh untuk diteladani. Siapakah pemimpin generasi kini yang boleh dijadikan contoh untuk generasi akan datang?

(bersambung..)

agenda-propaganda-minda

Ahad, 13 April 2008

Tok ketua kita

Tuk Ketua ooohh Tok Ketua!

Assalamualaikum Tuk! Nak mai sembang sikit buleh kut...la ni nak habaq la duk peringat kat Tuk Ketua la kut-kut terlupa atau dah lupa maklum la melayu mudah lupa. Bila kepala yang diatas tau macam mana nak jaga orang melayu mesti confirm yang dibawah pun tau mcm mana nak jaga org melayu. Ni nak bagi peringat lagi la naaa kat Tuk Ketua, pasai apa la ni banyak sgt org bukan melayu duk nak kondem orang melayu? depa tau ka depa duk tang mana ni? agak-agaknya depa tau dak yang negara ni sapa punya? betui la negara depa jugak sapa plak nak nafikan, tapi la ni depa kena faham yg negara ni waris dia org melayu, jgn duk buat pasai nak komplen hak org melayu..tuk ketua kena tgk benda2 mcm ni, jgn duk bagi lepaih jaa..depa naik kepala nanti, sapa nak jawab? tuk ketua jugak!

Tuk Ketua, bab melayu satu perkara, bab 1 lagi nih pun depa dah pandai2 nak masuk campuq...pasai agama kita pun depa dah pandai la ni. Suka2 pulak nak bagi orang Islam pakat keluaq agama. Tu diaaaa! sapa la depa ni, sapa la duk bagi muka sgt ni? Saya duk risau la tuk ketua oiii! Tuk Ketua, saya ni rasa cemuih la duk dengaq mangkuk hayun depa ni duk main-mainkan sensitiviti agama, rasa nak pi hayun ja. Hishhh, Nauzubillah! Tuk Ketua tolong la pi cakap kat depa sat? awatnya? takut ka?

Tuk ketua ni sy nak habaq mai sikit la. Orang Melayu tu org Islam, Kalau dia bukan Islam dia boleh ka dak jad Melayu? tak boleh noo... Tapi kalau orang melayu boleh dak jd bukan islam? Lagi la tak buleh, kalau dia keluaq dr melayu dia bukan lagi pewaris tanah ini....

Tuk ketua jgn duk selalu lelap nanti kampung terbakaq takut takdak org nak talipon bomba, rumah tuk ketua ja yg ada talipon. Tuk Ketua, kami sayang la kat kampung kami ni. Tuk Ketu tolong la duk peringat kat depa2 tu jgn la duk cari pasai, baik la kita kerjasama kuatkan org melayu Islam.

Tok ketua tak larat dah???
Lagu tu Tuk Ketua bagi la kat Pak Imam pulak jadi Ketua baru! Tok Imam baguih org dia. Lagi baguih dari pembantu Tok Ketua yang duk angguk tu. Tok Imam dia suka derma kat org, lagipun rumah dia pun buruk mcm rumah kami jugak. Kami pun dah ramai yang berpakat nak lantik imam jadi ketua yg baru kalau Tok Ketua dah tak larat. Kami rasa Imam mampu buat kami bersatu. Tok Ketua nak tau pasai apa? Pasai Imam dia seorang Hamba Allah yang baik dan seorang Melayu yang tau pasai asal-usul bangsa dia. Tuk Ketua pun Islam tp Tuk Ketua Melayu campuq ja..dgn arab ka?

Takpalah Tuk Ketua oi...dah nak masuk asaq dah ni, nanti Imam tunggu lama pulak. Assalamualaikum Tuk Ketua! Mai la jemaah sekali kat surau boleh jgk tgk2 kan lampu rosak ka kipas ka..

agenda-propaganda-minda

Rabu, 26 Mac 2008

Melayu...Dulu, Kini dan Selamatkah? (bahagian 1)

(Bahagian 1)

Setiap satu masa yang pasti akan berubah dan pasti akan merubah dan berlaku perubahan dalam kehidupan setiap insan. Begitu juga pada saat-saat getir perpecahan bangsa melayu yang sedang berlaku ketika ini menguji sejauh mana kesediaan kita menghadapi perubahan dan menilai semula apakah agenda-agenda melayu yang telah disongsangkan sehingga kita telah lari dari landasan yang telah dibina sejak berabad oleh pejuang melayu terdahulu. Amati perjuangan orang Melayu terdahulu dalam membina kesepakatan bangsa Melayu.

Merujuk kepada penulisan Yahaya Ismail dalam buku beliau bertajuk 'Politik Umno: Melayu tergugat' (1987), dipetik dari ucapan Tengku Razaleigh Hamzah dalam ucapan dasar calon presiden UMNO 1987; "Marilah sama-sama kita mengenang jasa dan bakti Allahyarham Dato' Onn Jaafar yang telah membangkitkan kesedaran dan kemudiannya menyatupadukan bangsa Melayu. ....dan berkat kepimpinan Dato' Onn yang dinamik dan senantiasa mengutamakan perpaduan itu, bangsa Melayu telah bangkit dari tidurnya dan dengan lantang dan gagah bersuara menuntut hak dan kedaulatan yang sah di tanahairnya sendiri.... ".

Melayu dulu sudah bangkit dari tidur, sudah berhempas pulas dengan kudrat dan tenaga berjuang, melayu kini yang dilimpahi nikmat terlelap semula dengan bantal dan tilam yang selesa. Bangun! Bangkit! kenikmatan itu hanya sementara, melayu perlukan kudrat dan tenaga untuk terus berjuang. Selamatkan melayu!

agenda-propaganda-minda

Sabtu, 22 Mac 2008

Kombinasi Peneraju Umat Malaysia Gemilang

Giliran PAS menerajui ummah
Roslan Shahir
Sat Mar 22, 08 12:45:16 pm MYT
Agenda penyatuan Melayu Islam tiba-tiba menjadi topik hangat sejurus suara rakyat diterjemahkan melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) baru-baru ini.

Beberapa pihak khasnya yang cenderung dan kuat menyokong Umno sebelum PRU lalu tiba-tiba terpanggil untuk memperjuangkan isu ini setelah ia lama terpendam dan dimatikan.

Mengapa baru kini ianya dibangkitkan?

Bagi mereka yang mudah emosional sehingga mengenepikan rasional, isu agenda penyatuan Melayu Islam menjadi kononnya mendesak kerana keputusan PRU ke 12 menunjukkan Pulau Pinang telah jatuh ketangan orang bukan Melayu, keadaannya juga cemas di Perak dan Selangor. Suara bukan Melayu semakin besar di Parlimen dan di Dewan-dewan Negeri. Kuasa politik Melayu semakin rapuh dan mengecil.

Maka kononnya atas alasan itu juga semua pihak yang ada unsur dan kepentingan Melayu sepatutnya bersatu dan menyatukan kuasa politik Melayu Islam dalam satu gagasan bagi menangani kemerosotan kuasa politik Melayu Islam itu.

Anehnya formula penyatuan itu berharap dan bertenggek di atas Umno, Umno lah nanti yang akan menerajui gagasan ini demi perpaduan dan kesatuan umat Melayu Islam yang konon-konnya semakin terhakis dan mahu pupus itu. Sedangkan realitinya yang terhakis dan semakin pupus itu bukannya kuasa politik Melayu Islam tetapi sesungguhnya kuasa politik Umno dan BN.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebagai berkata bahawa Umno sebenarnya telah hilang kredibilitinya untuk bercakap berkenaan Melayu dan Islam kerana mereka sesungguhnya selama ini telah mencemarkan imej Melayu dan Islam.

Semua pihak perlu akui bahawa kebangkitan rakyat pada PRU ke 12 lalu adalah berpunca pada ketidakpuasan hati mereka terhadap pentadbiran dan gaya kepimpinan Umno dan BN. Ringkasnya rakyat termasuk orang Melayu Islam telah menolak Umno BN khasnya di lima buah negeri dan dibeberapa kerusi di negeri-negeri yang lain.

Baru-baru ini saya berkesempatan hadir dalam satu majlis yang bertujuan membicarakan isu ini. Beberapa individu dan pimpinan NGO Melayu Islam termasuk yang cenderung kepada Umno telah mengunjungi Presiden PAS untuk membincangkan isu agenda penyatuan Melayu Islam.

Di dalam majlis tersebut Presiden PAS telah menjelaskan bahawa PAS tidak pernah mengenepikan atau menutup pintu rundingan bagi penyatuan Melayu Islam. Masalahnya selama ini hanya PAS yang ikhlas dan jujur manakala pihak lain khasnya Umno semata-mata mementingkan survival dan kedudukan politik mereka.

Buktinya hanya kini setelah Umno hilang hampir 27% kerusinya di Parlimen, gagal menggugat Kelantan dan tersungkur jatuh di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor barulah pihak-pihak berkepentingan mahu mengusulkan isu ini sedangkan sebelumnya PAS tidak pernah dipedulikan malah dimusuhi dan ditentang habis-habisan.

Bagaimana Umno boleh prihatin dan cemberu pada isu perpaduan Melayu Islam sedangkan Umnolah juga yang menyerang kerajaan Melayu Islam PAS di Kelantan dan sebelumnya di Terengganu.

Kerajaan PAS didiskriminasi dan dianak tiri seolah-olah pimpinannya musuh dan bukan sebangsa dan seagama seperti mereka. PAS dipandang serong, ulamak dan cerdik pandai PAS menjadi seolah warga kelas kedua. Masjid, surau dan madrasah ditutup buat pimpinan PAS yang layak dan berwibawa.

Selain itu kakitangan kerajaan yang menyokong PAS diambil tindakan, ditukarkan, disekat kenaikan pangkatnya. Kontraktor dan pembekal PAS disenarai hitamkan, biasiswa dan pinjaman tidak diperuntukkan untuk anak-anak dan keluarga PAS.

Tiba-tiba hari ini pihak-pihak tertentu mahu mengajak PAS memikirkan agenda penyatuan Melayu Islam!

Sekarang ini rakyat telah bersuara. Umno sudah duduk dikerusi belakang. Sekarang ini adalah giliran PAS dan parti-parti rakannya yang lain. Berilah peluang dan kesempatan untuk PAS dan rakan-rakannya membuktikan kebolehan dan keupayaan mereka setelah Umno dan Bn gagal lebih 50 tahun.

Agenda penyatuan Melayu Islam penting demi survival ummah, tetapi ianya kini digelanggang PAS. PAS lah yang akan menerajui dan memimpinnya. Marilah jika kita benar-benar prihatin dan mengambil berat, sama-sama kita bekerja melalui PAS untuk memungkinkan orang-orang Melayu Islam dan seluruh rakyat Malaysia terpelihara dan selamat./wann.

Nota Pengarang : Penulis (Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir) adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS

(Petikan HarakahDaily.Net)

Inilah yang dimaksudkan oleh Putera Melayu...Kombinasi terbaik melayu+Islam...satu2nya rumus ataupun formula berkesan dalam menerajui kegemilangan umah. Tidak dapat dinafikan atau disangkalkan lagi...Insya Allah
agenda-propaganda-minda

Jumaat, 21 Mac 2008

4 bidang kuasa Raja atau Sultan dan Yang Dipertua Negeri



1.Kuasa Eksekutif
Kuasa eksekutif kerajaan negeri terletak pada raja mengikut perlembagaan negeri masing-masing. Kuasa eksekutif dijalankan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Raja/ Sultan dan YDP melantik MB atau KM dikalangan ADUN yang mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli dewan tersebut.
2.Kuasa Perundangan
Raja/Sultan dan YDP mempunyai kuasa utk memanggil, menagguh atau membubarkan DUN atas nasihat MB ataupun KM. Raja/Sultan dan YDP juga berhak menolak permintaan membubarkan DUN dengan menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri.
3.Kuasa Kehakiman
Raja/Sultan dan YDP mempunyai kuasa utk melantik majistret di negeri masing-masing. Raja/Sultan dan YDP mempunyai kuasa mengampun dan meringankan hukuman kepada seseorang yang melakukan kesalahan jenayah di negerinya tidak termasuk Mahkamah Tentera dan Syariah kerana ianya dibawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agung.
4. Kuasa Budi Bicara
Dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Negeri, seseorang Raja boleh menggunakan kuasa budi bicaranya dalam perkara-perkara berikut tertakluk kepada peruntukan dalam perlembagaan negeri:


  • Melantik seorang Menteri Besar daripada keturunan Melayu dan beragama Islam

  • Menerima dan menolak permintaan MB untuk membubarkan DUN

  • Meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja utk membincangkan hak dan keistimewaan raja-raja Melayu

  • Melantik waris,permaisuri, pemangku, dan jemaah pemangku

  • Memberi anugerah-anugerah, pangkat dan gelaran

  • Melaksanakan tugas sebagai ketua agama Islam

Bagi YDP negeri pula, kuasa budi bicara dlm perkara2 berikut:



  • Melantik seorang KM (tidak semestinya beragama Islam)

  • Menerima atau menolak permintaan KM utk membubarkan DUN.

(Rujukan buku: Kenegaraan Malaysia'Bab 6:Sistem dan Struktur Pentadbiran')


Apa sebab perlu kita pertikaikan Hak dan kuasa raja-raja melayu? Pertikaian dengan keputusan dan pandangan Raja atau Sultan bermakna menderhaka. Menderhaka kepada Raja atau Sultan bermakna menderhaka kepada Bangsa dan Agama. Lantas sedarlah golongan2 melayu terutamanya yang mempertikaikan institutsi raja melayu bahawasanya kamulah pemusnah institusi ketuanan melayu! Daulat Tuanku! Takbir!

agenda-propaganda-minda

Siapa lupakan jasa? UMNO atau Rakyat?


Buat Arwah Ayahanda tercinta...jasamu tetap kuhargai.

Suatu ketika dahulu arwah ayahanda saya menggunakan mesin taip buruk untuk membantu anak-anak kampung mendapatkan biasiswa untuk meneruskan pengajian, suatu ketika dahulu arwah ayahanda saya menggunakan mesin taip buruk itu untuk mendapatkan peruntukan infrastruktur kepada penduduk kampung, suatu ketika dahulu arwah ayahanda saya pejuang kecil UMNO..membantu orang-orang kampung menyuarakan rintihan kepada pemerintah.

Saya dibesarkan bersama perjuangan kecil arwah ayahanda saya di dalam UMNO..saya mengenal ABC..123.. dibawah tajaan UMNO, saya juga tahu dan faham apa maksudnya lagu UMNO yang saya hafal sejak berumur 5 tahun lagi..kini tiada lagi mesin taip buruh arwah ayahanda, tiada juga lagi tadika UMNO, tidak ada langsung penghargaan kepada arwah ayahanda dan tidak ada lagi pengaruh UMNO dalam keluarga saya..siapa sebenarnya yang melupakan jasa? saya atau UMNO? Demi bangsa melayu yang diperjuangkan UMNO suatu ketika dahulu, saya ingin meneruskan agenda melayu untuk memperkasakan pewaris mutlak negara ini walaupun tanpa penghargaan mana-mana parti politik mahupun individu-individu penting dalam sistem politik Malaysia.


agenda-propaganda-minda

Khamis, 20 Mac 2008

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) - Akibat kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap politik Umno dalam keputusan pilihan raya, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) diwujudkan konon mahu menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam. -->-->
Gabungan 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam itu diketuai Osman Abu Bakar berperanan sebagai orang tengah akan mengadakan perhimpunan Melayu dan Islam bersandarkan roh sambutan Maulidur Rasul di Kuala Lumpur atau Putrajaya.
Sehubungan itu, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman menyanggah tindakan BBPM kerana gabungan itu diwujudkan hanya kerana mahu menjaga kepentingan dan menyelamatkan politik Umno semata-mata.
Katanya, isu perpecahan di kalangan orang Melayu tidak timbul hanya sebahagian daripada mereka sudah tidak menyokong perjuangan BN lagi.
"Kenapa mengatakan orang Melayu lemah sedangkan dalam pilihan raya mereka menyokong PAS dan KeADILan," tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Johor melihat agenda BBPM itu sengaja dirancang oleh Umno di saat sokongan orang Melayu terhadap parti mereka semakin lemah.
"Jika Umno kembali kuat dengan mendapat sokongan daripada orang Melayu saya pasti dan yakin mereka tidak lagi bercakap soal perpaduan sebaliknya mereka akan terus mengajak orang Melayu menyokong Umno," katanya.
Beliau mempersoalkan daripada sudut apakah yang menyebabkan orang Melayu lemah sedangkan majoriti negeri ditadbir orang Melayu termasuk tiga PAS dan satu KeADILan.
Memang tidak relevan jika BBPM mengatakan orang Melayu lemah, jika alasan DEB selama diwujudkan memang tidak banyak membantu orang Melayu, tegasnya.
Mazlan menambah, jika isu DEB dijadikan alasan untuk mendakwa orang Melayu lemah, sudah tiba masanya satu dasar ekonomi orang Melayu diwujudkan dengan pendekatan yang lebih telus. - tajdid
(petikan artikel harakahdaily.net 21 Mac 2008 "BBPM untuk selamatkan UMNO)

Ada melayu yang bukan UMNO dan bukan semua melayu dalam UMNO. Jangan hanya sandarkan kelemahan melayu hanya pada kekalahan parti melayu utama dalam pilihanraya sahaja.

agenda-propaganda-minda