Sabtu, 3 Mei 2008

Melayu...Dulu, Kini dan Selamatkah? (bahagian 2)

Pemimpin-pemimpin melayu lampau yang megah dan lantang bersuara dan menyuarakan perjuangan bangsa. Pemimpin-pemimpin melayu sekarang melampau dengan megah dan lantang bersuara dan menyuarakan perjuangan peribadi.

Jika dahulu perjuangan berlandaskan kepada usaha kemerdekaan tetapi sekarang tiada berlandasan. Bertaburan dan berkeliaran berkejaran tanpa arah yang nyata. Berpusingan dan berulangan kearah yang berbeza tanpa paksi.

Perjuangan dahulu menuntut kemerdekaan, memperjuangkan nasib bangsa yang diapit oleh penjajah. Adilkah untuk umat melayu sekarang membalas jasa pejuang terdahulu? Bagaimana perasaan mereka yang terdahulu jika masih hidup dan melihat betapa pengorbanan mereka telah dipersiakan oleh segelintir anak-anak melayu yang melupakan jerih payah dalam usaha menuntut kebebasan dari penjajah.

Mungkin ini hanya satu detik sementara untuk menguji kekuatan umat melayu sekarang. Mungkin akan ada seseorang atau segelintir pahlawan moden melayu yang akan menjadi Hero untuk memartabatkan semula umat Melayu.

Bilakah anak-anak muda melayu akan bangkit dari lena akibat termakan keselesaan sementara atau bilakah anak-anak melayu ini akan sedar dari lamunan impian yang dilayarkan oleh kemewahan yang seketika. Anak-anak melayu kini gugur satu demi satu tanpa makna. Mati tersadai ditepi-tepi jalan dan longkang kerana keseronokan dan kepuasan. Orang-orang melayu dahulu gugur satu demi satu sebagai pahlawan bangsa yang berjuang menuntut kebebasan dari penjajah.

Kita dituntut untuk menjadikan pemimpin terdahulu sebagai contoh untuk diteladani. Siapakah pemimpin generasi kini yang boleh dijadikan contoh untuk generasi akan datang?

(bersambung..)

agenda-propaganda-minda