Rabu, 26 Mac 2008

Melayu...Dulu, Kini dan Selamatkah? (bahagian 1)

(Bahagian 1)

Setiap satu masa yang pasti akan berubah dan pasti akan merubah dan berlaku perubahan dalam kehidupan setiap insan. Begitu juga pada saat-saat getir perpecahan bangsa melayu yang sedang berlaku ketika ini menguji sejauh mana kesediaan kita menghadapi perubahan dan menilai semula apakah agenda-agenda melayu yang telah disongsangkan sehingga kita telah lari dari landasan yang telah dibina sejak berabad oleh pejuang melayu terdahulu. Amati perjuangan orang Melayu terdahulu dalam membina kesepakatan bangsa Melayu.

Merujuk kepada penulisan Yahaya Ismail dalam buku beliau bertajuk 'Politik Umno: Melayu tergugat' (1987), dipetik dari ucapan Tengku Razaleigh Hamzah dalam ucapan dasar calon presiden UMNO 1987; "Marilah sama-sama kita mengenang jasa dan bakti Allahyarham Dato' Onn Jaafar yang telah membangkitkan kesedaran dan kemudiannya menyatupadukan bangsa Melayu. ....dan berkat kepimpinan Dato' Onn yang dinamik dan senantiasa mengutamakan perpaduan itu, bangsa Melayu telah bangkit dari tidurnya dan dengan lantang dan gagah bersuara menuntut hak dan kedaulatan yang sah di tanahairnya sendiri.... ".

Melayu dulu sudah bangkit dari tidur, sudah berhempas pulas dengan kudrat dan tenaga berjuang, melayu kini yang dilimpahi nikmat terlelap semula dengan bantal dan tilam yang selesa. Bangun! Bangkit! kenikmatan itu hanya sementara, melayu perlukan kudrat dan tenaga untuk terus berjuang. Selamatkan melayu!

agenda-propaganda-minda

Sabtu, 22 Mac 2008

Kombinasi Peneraju Umat Malaysia Gemilang

Giliran PAS menerajui ummah
Roslan Shahir
Sat Mar 22, 08 12:45:16 pm MYT
Agenda penyatuan Melayu Islam tiba-tiba menjadi topik hangat sejurus suara rakyat diterjemahkan melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) baru-baru ini.

Beberapa pihak khasnya yang cenderung dan kuat menyokong Umno sebelum PRU lalu tiba-tiba terpanggil untuk memperjuangkan isu ini setelah ia lama terpendam dan dimatikan.

Mengapa baru kini ianya dibangkitkan?

Bagi mereka yang mudah emosional sehingga mengenepikan rasional, isu agenda penyatuan Melayu Islam menjadi kononnya mendesak kerana keputusan PRU ke 12 menunjukkan Pulau Pinang telah jatuh ketangan orang bukan Melayu, keadaannya juga cemas di Perak dan Selangor. Suara bukan Melayu semakin besar di Parlimen dan di Dewan-dewan Negeri. Kuasa politik Melayu semakin rapuh dan mengecil.

Maka kononnya atas alasan itu juga semua pihak yang ada unsur dan kepentingan Melayu sepatutnya bersatu dan menyatukan kuasa politik Melayu Islam dalam satu gagasan bagi menangani kemerosotan kuasa politik Melayu Islam itu.

Anehnya formula penyatuan itu berharap dan bertenggek di atas Umno, Umno lah nanti yang akan menerajui gagasan ini demi perpaduan dan kesatuan umat Melayu Islam yang konon-konnya semakin terhakis dan mahu pupus itu. Sedangkan realitinya yang terhakis dan semakin pupus itu bukannya kuasa politik Melayu Islam tetapi sesungguhnya kuasa politik Umno dan BN.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebagai berkata bahawa Umno sebenarnya telah hilang kredibilitinya untuk bercakap berkenaan Melayu dan Islam kerana mereka sesungguhnya selama ini telah mencemarkan imej Melayu dan Islam.

Semua pihak perlu akui bahawa kebangkitan rakyat pada PRU ke 12 lalu adalah berpunca pada ketidakpuasan hati mereka terhadap pentadbiran dan gaya kepimpinan Umno dan BN. Ringkasnya rakyat termasuk orang Melayu Islam telah menolak Umno BN khasnya di lima buah negeri dan dibeberapa kerusi di negeri-negeri yang lain.

Baru-baru ini saya berkesempatan hadir dalam satu majlis yang bertujuan membicarakan isu ini. Beberapa individu dan pimpinan NGO Melayu Islam termasuk yang cenderung kepada Umno telah mengunjungi Presiden PAS untuk membincangkan isu agenda penyatuan Melayu Islam.

Di dalam majlis tersebut Presiden PAS telah menjelaskan bahawa PAS tidak pernah mengenepikan atau menutup pintu rundingan bagi penyatuan Melayu Islam. Masalahnya selama ini hanya PAS yang ikhlas dan jujur manakala pihak lain khasnya Umno semata-mata mementingkan survival dan kedudukan politik mereka.

Buktinya hanya kini setelah Umno hilang hampir 27% kerusinya di Parlimen, gagal menggugat Kelantan dan tersungkur jatuh di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor barulah pihak-pihak berkepentingan mahu mengusulkan isu ini sedangkan sebelumnya PAS tidak pernah dipedulikan malah dimusuhi dan ditentang habis-habisan.

Bagaimana Umno boleh prihatin dan cemberu pada isu perpaduan Melayu Islam sedangkan Umnolah juga yang menyerang kerajaan Melayu Islam PAS di Kelantan dan sebelumnya di Terengganu.

Kerajaan PAS didiskriminasi dan dianak tiri seolah-olah pimpinannya musuh dan bukan sebangsa dan seagama seperti mereka. PAS dipandang serong, ulamak dan cerdik pandai PAS menjadi seolah warga kelas kedua. Masjid, surau dan madrasah ditutup buat pimpinan PAS yang layak dan berwibawa.

Selain itu kakitangan kerajaan yang menyokong PAS diambil tindakan, ditukarkan, disekat kenaikan pangkatnya. Kontraktor dan pembekal PAS disenarai hitamkan, biasiswa dan pinjaman tidak diperuntukkan untuk anak-anak dan keluarga PAS.

Tiba-tiba hari ini pihak-pihak tertentu mahu mengajak PAS memikirkan agenda penyatuan Melayu Islam!

Sekarang ini rakyat telah bersuara. Umno sudah duduk dikerusi belakang. Sekarang ini adalah giliran PAS dan parti-parti rakannya yang lain. Berilah peluang dan kesempatan untuk PAS dan rakan-rakannya membuktikan kebolehan dan keupayaan mereka setelah Umno dan Bn gagal lebih 50 tahun.

Agenda penyatuan Melayu Islam penting demi survival ummah, tetapi ianya kini digelanggang PAS. PAS lah yang akan menerajui dan memimpinnya. Marilah jika kita benar-benar prihatin dan mengambil berat, sama-sama kita bekerja melalui PAS untuk memungkinkan orang-orang Melayu Islam dan seluruh rakyat Malaysia terpelihara dan selamat./wann.

Nota Pengarang : Penulis (Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir) adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS

(Petikan HarakahDaily.Net)

Inilah yang dimaksudkan oleh Putera Melayu...Kombinasi terbaik melayu+Islam...satu2nya rumus ataupun formula berkesan dalam menerajui kegemilangan umah. Tidak dapat dinafikan atau disangkalkan lagi...Insya Allah
agenda-propaganda-minda

Jumaat, 21 Mac 2008

4 bidang kuasa Raja atau Sultan dan Yang Dipertua Negeri



1.Kuasa Eksekutif
Kuasa eksekutif kerajaan negeri terletak pada raja mengikut perlembagaan negeri masing-masing. Kuasa eksekutif dijalankan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Raja/ Sultan dan YDP melantik MB atau KM dikalangan ADUN yang mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli dewan tersebut.
2.Kuasa Perundangan
Raja/Sultan dan YDP mempunyai kuasa utk memanggil, menagguh atau membubarkan DUN atas nasihat MB ataupun KM. Raja/Sultan dan YDP juga berhak menolak permintaan membubarkan DUN dengan menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan oleh perlembagaan negeri.
3.Kuasa Kehakiman
Raja/Sultan dan YDP mempunyai kuasa utk melantik majistret di negeri masing-masing. Raja/Sultan dan YDP mempunyai kuasa mengampun dan meringankan hukuman kepada seseorang yang melakukan kesalahan jenayah di negerinya tidak termasuk Mahkamah Tentera dan Syariah kerana ianya dibawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agung.
4. Kuasa Budi Bicara
Dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Negeri, seseorang Raja boleh menggunakan kuasa budi bicaranya dalam perkara-perkara berikut tertakluk kepada peruntukan dalam perlembagaan negeri:


  • Melantik seorang Menteri Besar daripada keturunan Melayu dan beragama Islam

  • Menerima dan menolak permintaan MB untuk membubarkan DUN

  • Meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja utk membincangkan hak dan keistimewaan raja-raja Melayu

  • Melantik waris,permaisuri, pemangku, dan jemaah pemangku

  • Memberi anugerah-anugerah, pangkat dan gelaran

  • Melaksanakan tugas sebagai ketua agama Islam

Bagi YDP negeri pula, kuasa budi bicara dlm perkara2 berikut:



  • Melantik seorang KM (tidak semestinya beragama Islam)

  • Menerima atau menolak permintaan KM utk membubarkan DUN.

(Rujukan buku: Kenegaraan Malaysia'Bab 6:Sistem dan Struktur Pentadbiran')


Apa sebab perlu kita pertikaikan Hak dan kuasa raja-raja melayu? Pertikaian dengan keputusan dan pandangan Raja atau Sultan bermakna menderhaka. Menderhaka kepada Raja atau Sultan bermakna menderhaka kepada Bangsa dan Agama. Lantas sedarlah golongan2 melayu terutamanya yang mempertikaikan institutsi raja melayu bahawasanya kamulah pemusnah institusi ketuanan melayu! Daulat Tuanku! Takbir!

agenda-propaganda-minda

Siapa lupakan jasa? UMNO atau Rakyat?


Buat Arwah Ayahanda tercinta...jasamu tetap kuhargai.

Suatu ketika dahulu arwah ayahanda saya menggunakan mesin taip buruk untuk membantu anak-anak kampung mendapatkan biasiswa untuk meneruskan pengajian, suatu ketika dahulu arwah ayahanda saya menggunakan mesin taip buruk itu untuk mendapatkan peruntukan infrastruktur kepada penduduk kampung, suatu ketika dahulu arwah ayahanda saya pejuang kecil UMNO..membantu orang-orang kampung menyuarakan rintihan kepada pemerintah.

Saya dibesarkan bersama perjuangan kecil arwah ayahanda saya di dalam UMNO..saya mengenal ABC..123.. dibawah tajaan UMNO, saya juga tahu dan faham apa maksudnya lagu UMNO yang saya hafal sejak berumur 5 tahun lagi..kini tiada lagi mesin taip buruh arwah ayahanda, tiada juga lagi tadika UMNO, tidak ada langsung penghargaan kepada arwah ayahanda dan tidak ada lagi pengaruh UMNO dalam keluarga saya..siapa sebenarnya yang melupakan jasa? saya atau UMNO? Demi bangsa melayu yang diperjuangkan UMNO suatu ketika dahulu, saya ingin meneruskan agenda melayu untuk memperkasakan pewaris mutlak negara ini walaupun tanpa penghargaan mana-mana parti politik mahupun individu-individu penting dalam sistem politik Malaysia.


agenda-propaganda-minda

Khamis, 20 Mac 2008

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) - Akibat kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap politik Umno dalam keputusan pilihan raya, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) diwujudkan konon mahu menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam. -->-->
Gabungan 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam itu diketuai Osman Abu Bakar berperanan sebagai orang tengah akan mengadakan perhimpunan Melayu dan Islam bersandarkan roh sambutan Maulidur Rasul di Kuala Lumpur atau Putrajaya.
Sehubungan itu, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman menyanggah tindakan BBPM kerana gabungan itu diwujudkan hanya kerana mahu menjaga kepentingan dan menyelamatkan politik Umno semata-mata.
Katanya, isu perpecahan di kalangan orang Melayu tidak timbul hanya sebahagian daripada mereka sudah tidak menyokong perjuangan BN lagi.
"Kenapa mengatakan orang Melayu lemah sedangkan dalam pilihan raya mereka menyokong PAS dan KeADILan," tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Johor melihat agenda BBPM itu sengaja dirancang oleh Umno di saat sokongan orang Melayu terhadap parti mereka semakin lemah.
"Jika Umno kembali kuat dengan mendapat sokongan daripada orang Melayu saya pasti dan yakin mereka tidak lagi bercakap soal perpaduan sebaliknya mereka akan terus mengajak orang Melayu menyokong Umno," katanya.
Beliau mempersoalkan daripada sudut apakah yang menyebabkan orang Melayu lemah sedangkan majoriti negeri ditadbir orang Melayu termasuk tiga PAS dan satu KeADILan.
Memang tidak relevan jika BBPM mengatakan orang Melayu lemah, jika alasan DEB selama diwujudkan memang tidak banyak membantu orang Melayu, tegasnya.
Mazlan menambah, jika isu DEB dijadikan alasan untuk mendakwa orang Melayu lemah, sudah tiba masanya satu dasar ekonomi orang Melayu diwujudkan dengan pendekatan yang lebih telus. - tajdid
(petikan artikel harakahdaily.net 21 Mac 2008 "BBPM untuk selamatkan UMNO)

Ada melayu yang bukan UMNO dan bukan semua melayu dalam UMNO. Jangan hanya sandarkan kelemahan melayu hanya pada kekalahan parti melayu utama dalam pilihanraya sahaja.

agenda-propaganda-minda

Kisah Nabi Muhammad S.A.W dan kesannya kepada kesepaduan umat

Rasulullah bersabda maksudnya, “Setiap orang daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab (akauntabiliti) terhadap apa yang dijaganya. – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ensiklopedia Britanica menyifatkan Nabi Muhammad SAW sebagai personaliti pemimpin agama paling berjaya di dunia. Bekas penulis terkenal British, George Bernard Show menyatakan, jika Nabi Muhammad SAW masih hidup, beliau akan berjaya menyelesaikan masalah yang mengancam tamadun dunia hari ini.

Rasulullah SAW menolak percubaan rasuah puak nasionalis dan korporat Quraisy untuk menawarkan jawatan raja, perempuan cantik dan harta kekayaan dalam usaha memujuk Baginda berundur menjalankan aktiviti dakwah.Satu lagi perkara menarik mengenai kepemimpinan Rasulullah SAW ialah Baginda tidak menamakan dan menentukan pengganti selepas kewafatannya. Nabi Muhammad SAW menyerahkan urusan pencarian penggantinya kepada kuasa rakyat.

Allah memerintah umat Islam menggunakan amalan syura dalam membuat keputusan mengenai urus tadbir negara dan hal ehwal urusan mereka. Allah berfirman bermaksud: “Bermusyawarahlah kamu dengan masyarakat dalam urusan itu.” (Surah ali-Imraan, ayat 159)Berdasarkan amalan syura dalam pencarian pengganti Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar dipilih sebagai pemimpin negara Islam. Amalan syura adalah proses permulaan demokrasi yang ditetapkan dalam usaha menyerahkan kepada kuasa rakyat menentukan urus tadbir negara dan hal ehwal urusan masyarakat. Bagaimanapun ada sekumpulan serpihan umat Islam ketika itu mempertikaikan majlis syura itu.Golongan serpihan dikenali puak Syiah menyatakan Rasulullah SAW menamakan dan menetapkan penggantinya iaitu Saidina Ali pada majlis Ghadir al-Kum di Makkahketika dalam perjalanan pulang menunaikan Haji Wida'.Bagaimanapun, ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ahli hadis muktabar menolak dakwaan palsu puak Syiah. Saidina Ali sendiri tidak menuntut jawatan itu, malah bersabar dan menerima baik majlis syura yang diputuskan. Beliau menjadi Khalifah Islam keempat.Akauntabiliti sahabat Rasulullah SAW juga cemerlang, contohnya Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar membuat ucapan hampir sama ketika dipilih sebagai Khalifah.

Antara inti kata ucapan mereka, “Jika saya benar maka ikutilah saya dan jika saya menyeleweng, maka perbetulkan saya bagi menentukan urus tadbir negara tidak tersesat dan bersedia meletakkan jawatan jika gagal memenuhi akauntabiliti.”Berdasarkan penekanan kepemimpinan Rasulullah SAW dan sahabatnya mengenai akauntabiliti, jelas menunjukkan pematuhan akauntabiliti bermula daripada model pucuk pimpinan.

Kepentingan akauntabiliti dalam urus tadbir negara jelas diterangkan dalam al-Quran, surah an-Nisaa', ayat 58 dan 59. Isu utama dalam ayat itu ialah: Urus tadbir negara dan rakyat bukan melalui diktator dan hendaklah merujuk kepada al-Quran dan sunnah dalam menyelesaikan masalah negara. Pemimpin tidak boleh menjalankan urus tadbir berdasarkan pandangannya semata-mata tanpa merujuk kepada al-Quran dan sunnah, dan diberikan rakyat.Kesan besar yang timbul daripada kelemahan akauntabiliti ialah berlaku penyelewengan kuasa, rasuah dan amalan demokrasi tidak memberi makna apa-apa kepada rakyat.Rakyat dan orang awam pula berasakan haknya tidak ditunaikan secara adil. Allah memberi peringatan dalam al-Quran supaya umat Islam tidak menurut jejak langkah dan meniru gaya urus tadbir seperti Firaun, Haman dan Qarun.
(Petikan rencana dari: http://kisahmalaysia.blogspot.com/2007/03/rasulullah-dikagumi-tokoh-barat.html sumbangan JAKIM)


agenda-propaganda-minda

Fleksibiliti orang melayu..kesannya

Tanah Melayu - hak milik orang Melayu ditukar menjadi Malaysia yang memberi makna bahawa negara ini dimiliki oleh orang Melayu dan bangsa lain yang menghuni di negara ini. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa orang Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia untuk menunjukkan bahwa mereka gembira berkongsi bahasa dengan bangsa lain untuk memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian.
Bangsa Melayu sanggup mengorbankan identiti bahasa dan hak milik mereka dengan bangsa lain kerana mereka ialah orang yang menganut agama Islam yang melaungkan seruan keamanan, kedamaian, tolak ansur dan berpegang teguh kepada prinsip hidup ‘dunia ini adalah milik Allah’. Oleh itu mereka boleh menerima setiap bangsa yang dibawa masuk oleh British ke negara ini dengan syarat mereka perlu menghormati kewibawaan dan hak milik orang Melayu.
Corak kehidupan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum adalah unik jika dibandingkan dengan masyarakat di negara lain yang hanya dihuni oleh satu bangsa sahaja. Oleh itu keindahan dan keunikan ini perlu dipelihara supaya setiap individu yang menghuni di negara ini akan menikmati setiap kemudahan. Tidak kesemua bangsa Melayu menikmati kemajuan negara. Masih ramai lagi orang Melayu yang miskin dan terpinggir seperti bangsa lain juga. Oleh itu sikap tolak ansur di antara kaum amat perlu untuk memudahkan kerajaan mengadakan pelbagai kegiatan dan perancangan membasmi kemiskinan di kalangan kesemua kaum.
Demonstrasi menuntut hak yang berbau perkauman mungkin disebabkan oleh kejahilan mengenai sejarah Melayu dan penubuhan Malaysia. Ini disebabkan mata pelajaran sejarah Tanah Melayu dan penubuhan Malaysia tidak diajar di sekolah-sekolah swasta. Mata pelajaran ini hanya diajar di sekolah-sekolah milik kerajaan sahaja. Kebanyakan pelajar Melayu belajar di sekolah milik kerajaan. Oleh itu hanya pelajar Melayu sahaja yang memahami sejarah Tanah Melayu dan penubuhan Malaysia sedangkan pelajar-pelajar bukan Melayu tidak memahami sejarah negara. Oleh itu mereka mudah dipengaruhi oleh propaganda yang memutar belitkan fakta sejarah.
(petikan dari artikel Utusan Online "wajibkan subjek sejarah disemua peringkat" oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.)

Lihatlah tahap kelenturan hati budi orang melayu dalam keterbukaan penerimaan bangsa-bangsa lain. Kewajaran yang tidak perlu dipersoalkan kerana hanya akan menyentuk sensitiviti banyak pihak. Namun tahap kelenturan inilah yang perlu dipantau supaya hak orang melayu tidak boleh dipersoalkan langsung,malahan tidak boleh dipinda walau dengan apa sebab sekalipun.

agenda-propaganda-minda

Mukadimah Putera Melayu

Salam pembuka minda & jiwa,
Tanggal 12 rabiulawal 1429 hijrah bersamaan 20 mac 2008 memberi peluang untuk saya menyumbangkan secebis idea dalam mengisi agenda orang melayu khususnya buat pemuda-pemuda harapan bangsa. Tarikh ini jugalah dimana semua umat islam sedunia memperingati hari kelahiran Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W. Tatkala semua umat Islam memperingati kelahiran baginda dengan pelbagai acara sambutan terfikir difikiran dan terdetik dihati saya apakah teladan yang boleh diadaptasikan oleh putera melayu dari sejarah perjuangan baginda Nabi Muhammad S.A.W? Adakah hanya program-program dakwah yang masa luputnya satu hari sahaja? atau Adakah kesedaran umat islam khususnya putera melayu mengiktibarkan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam mengisi agenda perjuangan Melayu dalam membentuk umat yang memperkukuhkan Agama, Bangsa dan Negara?

Berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi ciptaan Allah S.W.T bertapaknya satu bangsa yang memiliki secebis daerah yang dihimpit ratusan ribu bangsa dari daerah-daerah lain yang membentuk satu negara yang hidup dalam kepelbagaian budaya dan agama. Disinilah asas dalam ketamadunan moden menuntut umatnya mempaktikan perkongsian budaya dan tatacara hidup supaya hak dan kesaksamaan dapat diberikan sama rata. Bagaimana sekiranya suatu ketika dulu daerah ini tidak didatangi ratusan ribu bangsa dari daerah-daerah lain? Mampukah bangsa asal itu memiliki sebuah negara bangsa seperti sekarang ini?

Seharusnya putera melayu yang mewarisi daerah ini memahami tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh orang terdahulu yang secara logiknya telah menggariskan hak ketuanan daerah ini. Ketuanan itu memberikan gambaran jelas kepada pewaris daerah agar sentiasa mengekalkan haknya dan memastikan tidak terlucutnya ketuanan itu kepada bukan pewaris. Lantas putera melayu harus memastikan ketuanan itu dapat diwariskan kepada generasi baru golongan asal daerah ini tanpa ada sebarang unsur yang mampu menggugat transformasi dari satu generasi ke generasi baru golongan asal daerah ini.

Sedarkah pewaris daerah ini tanpa kesepaduan agama dan bangsa maka tidaklah akan adanya transformasi yang total pada masa akan datang. Transformasi yang tempanglah penyebab kepada hilangnya hak ketuanan. Pewaris harus dilengkapi dengan kekuatan agama yang diwariskan oleh Nabi Muhammad S.A.W (agama tunggal umat melayu) dan kekuatan bangsa (orang melayu nusantara). Melalui kombinasi ini insya Allah proses transformasi dari satu generasi ke satu generasi yang baru tidak akan tempang.

Wahai pewaris melayu, jadikanlah Islam sebagai pedoman dan panduan dalam hidup dan ambillah semangat orang melayu terdahulu sebagai amanah dalam membentuk kesepakatan dan perpaduan sesama kita agar tiada ketempangan dan sekiranya ada sedikit kecacatan maka betulkan ia sebelum melarat. Masih ada ruang untuk membaiki ketempangan akibat kealpaan dan masih ada ubat untuk merapatkan kerenggangan kesepaduan akibat perbezaan agenda dan propaganda. Berbaliklah semula pada panduan, pedoman dan semangat manusia terdahulu. Balik ke pangkal jalan yang lurus dan jgn sesekali berundur pada pangkal yang bengkok. Luruskan jalan yang bengkok supaya generasi akan datang yang terpesong dapat kembali kepada pangkal yang lurus. Ingatlah pewaris daerah ini, tanpa kesepaduan longgarlah pegangan, lerailah ikatan dan tempanglah berjalan. Satukan agenda dan saksamakan setiap propaganda untuk memiliki satu minda yang sama. Demi pewaris bangsa melayu di daerah asalmu.

agenda-propaganda-minda